Ketua jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo menegaskan pasukannya tidak merancang untuk keciciran sebarang mata pada aksi peringkat kumpulan saingan AFC Champions League (ACL) 2023/24.

Pada perlawanan pertama di Korea, Ulsan berjaya menewaskan wakil tunggal saingan Liga Malaysia itu dengan keputusan 3-1 dan mereka mahu mengulangi kejayaan tersebut apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Beberapa pemain utama seperti ketua pasukan, Jung Seung-hyun, Darijan Bojanic dan Gustav Ludwigson dijangka kembali dalam kesebelasan utama selepas direhatkan ketika pasukan itu menewaskan Daegu FC dalam saingan K League.

“Saya merehatkan tiga pemain itu ketika menentang Daegu kerana taktik. Tiada kena mengenai dengan perlawanan ini.

“Kami cukup bersedia untuk perlawanan menentang JDT dan tidak merancang untuk keciciran sebarang mata menentang pasukan yang akan menampilkan intensiti yang tinggi,” katanya dipetik dari laporan NST.

Myung-bo turut menegaskan faktor cuaca di Malaysia ketika ini yang jauh berbeza dengan Korea Selatan bukanlah satu isu kepada pasukannya.

“Kita tak boleh mengawal cuaca. Itu bukanlah satu kerisauan atau tekanan terhadap pasukan kami,” tambahnya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu bulan lalu, Jung Seung-hyun dan Gustav Ludwigson menjadi wira bagi Ulsan Hyundai apabila kedua-dua pemain menjaringkan gol sekaligus menghadiahkan pasukan tiga mata.

Jung membuka tirai jaringan dimana beliau mudah menolak masuk bola ke dalam pintu gawang JDT ketika beliau tidak dikawal dalam situasi sepakan penjuru.

Memasuki minit ke-12, Gustav Erik Ludwigson menambah jaringan kedua setelah cubaan Jordi Amat untuk menghalang bola hantaran jauh terus menuju ke kawasan penalti yang membolehkan pemain import dari Sweden itu melakukan percubaan separa voli menewaskan Ahmah Syihan Hazmi Mohamed.

Ulsan Hyundai terus mengambil kesempatan di atas kegagalan barisan pemain JDT untuk selesa dengan keadaan permainan.

Ia dibuktikan berselang enam minit kemudian apabila Gustav yang menerima hantaran jauh Seunghyun, masuk ke dalam kawasan penalti dan menyudahkan peluang terhidang dengan satu percubaan ‘placing’ rendah menjadikan kedudukan 3-0.